Wednesday 2 November 2011

FIKIR-FIKIRKAN....


Salam buat semua.......
Kali ini teringin berkongsi coretan Dr. Zainur Rashid Zainuddin yang baru ku baca sebentar tadi. Buat renungan bersama... 

Jika ingin mengenali dan mengutip pengalaman beliau sila layari: 
www.zainurrashid.com 



~Sekadar hiasan~

Tajuk: Biarkanlah usikan nakal itu berlalu...

Senario A
Anda memakaikan tudung buat anak gadis anda yang baru berumur 8 tahun bagi membiasakannya untuk menutup aurat sebelum baligh lagi. Ketika menemaninya menghadiri majlis sukan sekolah, seorang wanita yang turut menemani anaknya mencebik mulutnya ketika melihat anak gadia anda yang bertudung seraya berkata: "Hari ini hanyalah majlis sukan sekolah, janganlah kolot sangat dengan susah-payah bertudung tu!". 
Apakah yang seharusnya anda jawab ?

Senario B
Anda sedang bermain boleh pantai bersama rakan-rakan sepengajian. Seusai permainan tersebut, anda bersolah zuhur secara berjamaah di bawah sepohon pokok tetapi hanya bersejadahkan pepasir kering di persisiran pantai kerana tiada masjid atau surau di kawasan yang berdekatan. Tiba-tiba sepasang merpati dua sejoli berjalan di kawasan yang berhampiran sambil pasangan lelakinya mengejek: "Kalau ye pun nak sembahyang atau nak tunjuk alim, tapi janganlah ekstrim sangat brader!".
Apakah jawapan yang terbaik anda untuk sijejaka tersebut?

Senario C
Anda menyertai rakan-rakan anda mengambil bahagian di dalam aktiviti dakwah kerana menginsafi bahawa anak bangsa anda adalah orang yang lebih dekat dengan anda. Namun rata-rata ramai di kalangan anak bangsa generasi muda seperti anda yang terlibat dengan gejala sosial, gejala lepak dan penyalah-gunaan dadah, kurang bermotivasi dan tidak berwawasan, jauh daripada amalan agama dan pelbagai masalah lain yang sepatutnya diperbetulkan secara sistematik. Tiba-tiba ada kenalan anda mengatakan bahawa anda dan rakan-rakan dakwah anda berfikiran sempit, kelompok pemecah-belah, kumpulan yang introvert, asobiyyah dan pelbagai bentuk tohmahan dan ejekan yang lain. Apakah jawapan yang bakal anda berikan kepada mereka?

Berikut adalah beberapa kemungkinan jawapan yang boleh anda pilih :
  • Jawab balik tohmahan mereka dengan ejekan yang sewajarnya
  • Kritik mereka semula di wall facebook mereka
  • Jawab herdik mereka dengan hujah al-Quran dan hadith
  • Ajak mereka berdebat secara terbuka kerana meyakini Islam tertegak dengan hujah dan dalil
  • Anda tidak menjawab melainkan dengan mencebikkan mulut
  • Anda buat-buat tak dengar sahaja
  • Anda senyum sambil mendoakan agar mereka diberikan hidayah
Namun di dalam banyak keadaan, mendiamkan sahaja ejekan nakal ini adalah lebih baik kerana :
  • Anda tidak turut sakit hati dan boleh mengelakkan marah yang berpanjangan
  • Anda tidak membuang masa dan boleh menumpukan kepada tugasan yang lebih bermanfaat
  • Hujah-hujah anda yang hebat itu juga mungkin tidak boleh mengubah sikap mereka yang kekal nakal
  • Tidak melayan mereka memberikan peluang untuk anda memberikan penumpuan kepada sasaran anda yang dahagakan cahaya kebenaran
  • Ejekan mereka memberi peluang anda lebih berpahala dan peluang bermuhasabah kerana ada kemungkinan anda juga melakukan kesilapan
  • Senyum manis anda dan doa munajat akan melatih anda mendidik nafsu sendiri disamping memungkinkan Allah swt memberi petunjuk kepada mereka
Seorang pencinta kebaikan seharusnya berperangai dengan akhlak yang mulia sehingga pengaruh ilmu itu ternampak dan tercermin pada peribadinya, aqidah dan juga ibadahnya. Perilakunya boleh menjadi contoh dan teladan bagi orang-orang lain serta bakal menarik hidayah daripada Allah swt. Jika perilaku dan perangai  kita pun seumpama mereka iaitu berlawanan dengan nilai akhlak yang mulia maka seruan kita akan gagal. Kalau pun berhasil, maka natijahnya sudah tentulah merupakan hasil yang kecil sahaja.


Seorang pencinta kebenaran harus bersabar di dalam menghadapi rintangan dakwahnya atau ketika berhadapan dengan ejekan nakal daripada penentang atau mereka yang mencemburui seruannya. Adalah menjadi resam perjuangan kerana setiap seruan yang mengajak kepada Allah pasti mendapat tentangan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:


“Dan seperti itulah telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang berdosa. Dan cukuplah Rabbmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong”. (Surah al-Furqan: ayat 31).


kredit kepada zainurrashid.com 



 Coretan di atas amat menarik perhatianku kerana aku sendiri pernah mengalami situasi yang sama suatu ketika dahulu. Kejadian tersebut berlaku di zaman anak dara dahulu iaitu ketika aku sedang menuntut di sebuah universiti awam di ibu kota. Suatu hari, teman baikku mengajakku menyaksikan pertandingan akhir Muzik-Muzik (sekarang dikenali sebagai Juara Lagu) di PWTC. 

Kami pergi bertiga. Sebelum masuk ke dewan menyaksikan konsert, kami singgah di surau bagi menunaikan solat maghrib. Beberapa pemuda Melayu (Islam) yang sedang melepak tidak jauh dari surau menegur dan mengganggu kami yang bertudung dan kata-kata sindiran: "you all salah tempat kut....ini bukan pertandingan Tilawah al-Quran la..." 

Benarlah seperti saranan Dr. Zainur Rashid ~kami diamkan sahaja dan berdoa di dalam hati semoga mereka diberi hidayah oleh Allah....