Friday 2 November 2012

MEDIA DAN ANAK-ANAK...



 

Pernahkah anda rasa gerun membaca berita-berita yang terpampang di dada akhbar? Takut menonton tv atau mendengar radio? Terutama jika aktiviti itu dilakukan bersama anak-anak. Perasaan tersebut lahir semata-mata kerana bimbang kesan penyiaran bahan-bahan yang tidak wajar itu tidak dapat diproses oleh akal kecil anak-anak kita.

Lumrah sifat anak-anak suka bertanya ~ Mama, ROGOL itu apa? CABUL apa maksudnya, Papa? SUMBANG MAHRAM tu apa benda, adik tak fahamlah.....

Bagaimana anda menerangkan perkara-perkara sedemikian kepada anak-anak kecil usia tadika atau sekolah rendah? Paling mudah, beritahu anak-anak bahawa mereka masih terlalu kecil untuk memahami maksud perkataan-perkataan tersebut! 

Persoalannya: adakah itu penyelesaian terbaik?

Tapi, itulah kenyataan yang berlaku hari ini. Dan hakikatnya, itulah yang berlaku dalam keluarga kami. Sehinggakan di rumah kami ada peraturan mengenai 'siapa boleh baca apa'. Serious! Anak-anak hanya dibolehkan membaca akhbar-akhbar arus perdana. Tabloid dan majalah hiburan, maaf ye anak-anak! Buku/majalah kartun yang mempunyai nilai moral yang baik sahaja, ok.

Alhamdulillah, setakat ini anak-anak boleh patuh. Faham atau tidak, waLlahu a'lam...
Tapi, kami sebagai ibu bapa sentiasa memberitahu anak bahawa kami bersedia menjawab sebarang pertanyaan anak-anak mengenai apa-apa sahaja. Tanyalah, ummi dan ayah akan terangkan sebaik mungkin.






Begitu juga dengan rancangan tv. Biasanya kami bantu anak-anak memilih rancangan yang bermanfaat untuk ditonton. Tidak semestinya rancangan agama, asalkan mempunyai nilai tambah ilmu dan moral yang baik, boleh saja. Dalam masa yang sama kami tekankan juga penguasaan bahasa Arab dan Inggeris. Seboleh-bolehnya kami elakkan anak-anak membaca sarikata. Bahasa Melayu juga tak kurang pentingnya. Oleh sebab itu, filem atau drama Melayu yang banyak menggunakan bahasa rojak, slanga atau perkataan tidak elok akan kami elakkan. Ini termasuk juga rancangan lawak jenaka yang melampau seperti yang mengandungi unsur-unsur lucah sama ada melalui perbuatan atau percakapan. Serta lakonan yang menyelitkan karekter lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya.  

Inilah kebimbangan kita sebagai ibubapa. Apatahlagi menyedari bahawa tugas mendidik anak-anak adalah suatu amanah kerana anak-anak itu sendiri adalah amanah Allah.

Anak yang bijak akal fikiran semata-mata tidak memadai. Sebaliknya, anak yang mempunyai akhlak yang baik dan budi pekerti mulia adalah suatu yang paling diinginkan setiap ibubapa. 

Agar nanti ada anak-anak soleh/solehah yang mengirimkan doa untuk kedua ibu bapanya apabila mereka telah tiada di dunia ini.

Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w : 

"Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya".


Hari ini, beratus tv chanel boleh diakses dengan mudah. Yang penting sekali ialah bimbingan dan pemantauan. Ibubapa perlu ada sedikit perasaan 'curiga' pada anak-anak. Maksudnya, kita perlu ambil tahun apa yang mereka lakukan, dengan siapa mereka berkawan dan seumpamanya. Better safe than sorry!

Kesimpulannya, kita sebagai ibubapa mempunyai pilihan. Sama ada kita biarkan anak-anak 'belajar' sendiri disebabkan kita hanyut dengan kesibukan duniawi. Atau kita cuba meluangkan masa dengan mengorbankan sedikit kesibukan kita demi anak-anak yang kita cintai. Kerana hakikatnya, anak-anak memerlukan bimbingan dan nasihat kita yang dewasa dalam setiap perkara!



Sampai jumpa lagi, 

-johana-


No comments:

Post a Comment